UNDI POS

Siapakah rakyat Malaysia di luar negara yang layak memohon untuk mengundi secara pos ?

Mereka yang telah berdaftar sebagai pemilih dan tinggal di luar Negara kecuali mereka yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia.

Adakah rakyat Malaysia yang tinggal di semua wilayah di Selatan Thailand tidak diberikan kemudahan untuk mengundi secara pos?

Mereka yang tinggal di wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun tidak diberikan kemudahan untuk mengundi secara pos.

Adakah rakyat Malaysia yang tinggal di seluruh Kalimantan Indonesia tidak diberikan kemudahan untuk mengundi secara pos?

Ya. Mereka yang tinggal di seluruh Kalimantan Indonesia tidak diberikan kemudahan untuk mengundi secara pos.

Saya merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di luar negara dan mempunyai pasangan. Saya tidak mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH). Adakah saya layak memohon untuk mengundi secara pos?

Ya. Anda dan pasangan layak memohon untuk mengundi secara pos kecuali anda bertugas di Singapura, Wilayah Selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan Indonesia.

Saya merupakan seorang pelajar bersama pasangan di luar negara. Saya tidak mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH). Adakah saya layak memohon untuk mengundi secara pos?

Ya. Anda dan pasangan layak memohon untuk mengundi secara pos kecuali anda belajar di Singapura, Wilayah Selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan Indonesia.

Apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada pengundi yang tinggal di luar negara untuk mengundi secara pos?

Anda mesti pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimana cara pengundi biasa yang tinggal di luar Negara memohon untuk mengundi secara pos?

Pengundi biasa yang tinggal di luar negara hendaklah mengisi Borang 1B. Borang ini boleh dimuat turun dari laman web SPR. Permohonan melalui Borang 1B yang telah diisi dengan lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Bagaimana cara pengundi biasa di luar negara menghantar Borang 1B?

Borang 1B yang lengkap diisi boleh dihantar kepada Ibu Pejabat SPR melalui cara yang berikut :

  1. Melalui emel kepada upup@spr.gov.my
  2. Melalui faks ke 03-8881 0424/0399/0386/0369
  3. Melalui pos ke alamat,Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
    Menara SPR, No.2 Jalan P2T,
    Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62100 Putrajaya
    (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara)
  4. Permohonan anda diterima oleh SPR selepas tarikh tutup undi pos luar negara. 

Bilakah permohonan mengundi secara pos luar negara ditutup?

Permohonan mengundi secara pos dari luar negara ditutup pada hari pembubaran Parlimen

Adakah SPR menyediakan garis panduan untuk mengisi Borang 1B?

Ya. Garis panduan untuk mengisi Borang 1B boleh dimuat turun dari laman web SPR.(www.spr.gov.my)

Sekiranya saya membuat permohonan selepas tarikh penerimaan Borang 1B ditutup, adakah permohonan saya akan diproses?

Sekiranya permohonan anda diterima selepas tamat tempoh yang diumumkan oleh SPR, permohonan anda tidak akan diproses. Untuk mengundi dalam pilihan raya, anda perlu balik ke Malaysia untuk mengundi pada Hari Mengundi

Jika permohonan saya untuk mengundi secara pos ditolak, apakah sebabnya?

Antara sebab-sebab permohonan untuk mengundi secara pos ditolak adalah seperti yang berikut;

  1. Bukan warganegara Malaysia;
  2. Belum mendaftar sebagai pemilih; 
  3. Anda tidak berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia untuk tempoh kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa;

Adakah saya akan dimaklumkan oleh SPR mengenai sebab pemohonan saya untuk mengundi secara pos ditolak?

Ya. Anda akan dimaklumkan sebab-sebab permohonan anda untuk mengundi secara pos ditolak melalui emel,telefon atau faks.

Saya baru tinggal di luar negara selama 50 hari. Adakah saya layak memohon untuk mengundi secara pos?

Ya. Anda layak untuk memohon untuk mengundi secara pos kerana sebelum itu anda berada di Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau kekosongan kerusi luar jangka.

Sekiranya saya hanya mengingati tahun tetapi lupa tarikh berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia, apakah yang saya perlu lakukan?

Anda boleh mengisi butiran bulan dan tahun anda berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, SPR akan menyemak tarikh-tarikh tersebut dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk pengesahan.

Adakah saya dapat mengetahui Borang 1B saya telah diterima oleh SPR?

Ya. SPR akan memaklumkan penerimaan Borang 1B melalui emel atau telefon atau faks.

Bagaimanakah cara saya dimaklumkan sama ada status permohonan saya dilulus atau ditolak?

Anda akan dimaklumkan status permohonan sama ada dilulus atau ditolak melalui emel atau telefon atau faks.

Saya telah menghantar permohonan untuk mendaftar sebagai pemilih, tetapi apabila membuat semakan di laman web SPR saya mendapati nama saya tidak terdapat dalam Daftar Pemilih SPR?

Jika nama anda tidak terdapat dalam Daftar Pemilih SPR, ini bererti bahawa anda belum lagi merupakan sebagai pemilih berdaftar. Semakan pendaftaran boleh dibuat melalui talian 603-88927018 atau laman web SPR di www.spr.gov.my.

Saya pemilih berdaftar yang sedang bercuti di luar negara. Adakah saya layak memohon untuk mengundi secara pos?

Anda tidak layak. Mereka yang layak memohon untuk mengundi secara pos dari luar negara adalah terdiri daripada pemilih berdaftar yang tinggal di luar negara.

Apakah jaminan bahawa kertas undi saya akan sampai sebelum hari pengundian?

Sekiranya kertas undi telah diterima, anda perlu menanda kertas undi dan menghantarnya kembali dengan kadar segera ke alamat yang tertera di Sampul Keutamaan B.

Apakah kaedah yang boleh saya gunakan untuk pemulangan semula kertas undi kepada SPR?

Penghantaran boleh dilakukan dengan menggunakan mana-mana khidmat kurier sedia ada di negara anda. Walau bagaimanapun, kos penghantaran semula kertas undi yang telah ditanda adalah atas tanggungan anda.

Apakah alamat yang boleh saya gunakan sebagai alamat untuk penghantaran kertas undi pos kepada saya?

Kertas undi pos akan dihantar kepada alamat yang diberikan oleh anda sebagaimana di Bahagian B dalam Borang 1B. Alamat yang diberikan perlulah lengkap kerana sampul-sampul dan kertas undi anda akan dihantar ke alamat yang dinyatakan.

Apakah tarikh akhir kertas undi perlu diterima oleh SPR?

Tarikh akhir kertas undi perlu diterima oleh SPR adalah sebelum pukul 5.00 petang hari pengundian.