1. Latar Belakang
Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, salah satu fungsi SPR adalah untuk mendaftarkan warganegara yang layak sebagai pemilih supaya mereka dapat menyertai proses memilih wakil untuk menyuarakan pendapat mereka dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Urusan pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh SPR semenjak ia ditubuhkan tanpa gagal. Urusan yang dahulunya dilakukan secara bermusim iaitu setahun sekali selama antara 21 hingga 42 hari, kini dibuka setiap hari untuk sepanjang tahun sejak 16 Julai 2002.
2. Kenapa Anda Perlu Mendaftar ?
Adalah menjadi hak setiap warga negara yang layak untuk memilih kerajaan untuk memerintah negara melalui pemilihan wakil rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibenarkan mengundi wakil rakyat pilihan anda dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, anda perlulah mendaftarkan nama anda sebagai pemilih. Anda tidak boleh mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.
3. Siapa Boleh Mendaftar ?
Syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih adalah seperti yang berikut:
- Seorang warganegara Malaysia;
- Telah mencapai umur 21 tahun;
- Bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan;
- Tidak dihalang / hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.
4. Jenis-Jenis Pendaftaran
SPR menjalankan 2 jenis pendaftaran pemilih iaitu:
Pendaftaran Baru:
SPR menerima permohonan warganegara yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih buat pertama kali.
Pendaftaran Tukar Alamat dan Pusat Mengundi:
SPR juga menerima permohonan pemilih berdaftar yang memohon untuk mendaftarkan alamat tempat tinggalnya yang baru. Ia dikaitkan dengan pertukaran alamat Pusat Mengundi kerana secara lazimnya, sekiranya seorang pemilih berpindah ke tempat baru, maka, Pusat Mengundinya akan ditetapkan mengikut pendaftaran alamat tempat barunya itu.
5. Jenis-jenis Pemilih?
Mengikut undang-undang pilihan raya, SPR boleh mendaftarkan 2 jenis pemilih iaitu:
Pemilih Biasa:
Pemilih biasa adalah pemilih berdaftar yang perlu hadir untuk mengundi di pusat-pusat mengundi semasa pilihan raya.
Pengundi Tidak Hadir:
Pengundi Tidak Hadir atau PTH adalah golongan pemilih yang dinyatakan dalam Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, iaitu, anggota tentera dan pasangan, anggota perkhidmatan awam yang bertugas di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya serta pelajar sepenuh masa yang menuntut di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya. PTH ini dibenarkan mengundi secara pos.
6. Di Mana Tempat Untuk Mendaftar?
Untuk Pemilih Biasa:
Sekiranya anda adalah warganegara yang telah layak tetapi belum mendaftar sebagai pemilih atau seorang pemilih yang ingin mendaftarkan pertukaran alamat pusat mengundi, anda boleh melakukannya di:
- Pejabat-pejabat SPR.
- Pejabat-pejabat pos berkomputer
- Wakil-wakil jabatan.
- Wakil-wakil parti politik (daftar baru sahaja).
- Pasukan Outreach SPR *sila rujuk laman web negeri.
Bagi warganegara yang tidak layak mendaftar sebagai PTH, tetapi berada di luar Negara, anda masih boleh mendaftar sebagai pemilih biasa melalui pejabat-pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara.
Untuk Pemilih Tidak Hadir:
Sekiranya anda adalah tergolong dalam golongan yang layak mendaftar sebagai PTH, anda boleh mendaftar di tempat-tempat seperti yang berikut:
- Jabatan Rekod dan Pencen (JRP) bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
- Pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar Negara bagi pegawai awam luar negara dan pelajar serta pasangan.
7. Bagaimana Cara Untuk Mendaftar?
Untuk Pemilih Biasa:
Untuk mendaftar sebagai pemilih biasa, anda perlu:
- Datang sendiri ke mana-mana pusat-pusat pendaftaran;
- Serahkan kad pengenalan anda kepada petugas SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda;
- Semak borang pendaftaran yang telah diisikan oleh petugas SPR dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul dan mengikut sebagaimana dalam kad pengenalan anda sebelum menurunkan tandatangan;
- Menurunkan tandatangan anda selepas berpuas hati; dan
- Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran, Rang Daftar Pemilih Tambahan nanti.
Untuk Pemilih Tidak Hadir:
Anggota Tentera
Pendaftaran PTH dari kalangan ATM dilaksanakan oleh pegawai-pegawai JRP-ATM. Untuk mendaftar sebagai PTH, anda perlu:
- Menghubungi petugas-petugas SPR yang dilantik dari kalangan pegawai JRP;
- Serahkan kad pengenalan tentera anda dan MyKAD (untuk pasangan) kepada petugas yang dilantik oleh SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda.
- Apabila diserahkan kembali borang yang telah diisikan, semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul, sebelum menurunkan tandatangan;
- Turunkan tandatangan anda selepas berpuas hati; dan;
- Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran draf Daftar Pemilih Tambahan.
Nota:
- Pusat Mengundi anggota ATM dan pasangan adalah ditetapkan mengikut alamat tempat bertugas anggota ATM tersebut.
- Hanya anggota ATM dan pasangannya sahaja yang layak untuk mendaftar sebagai PTH. Anggota keluarga yang lain perlu mendaftar sebagai pemilih biasa dan Pusat Mengundi ditetapkan menggunakan alamat kediaman pemohon (sebagaimana dalam kad pengenalan).
Warganegara Malaysia yang Berada di Luar Negara
Pendaftaran PTH dari kalangan penjawat awam atau pelajar di luar Negara serta pasangan mereka dilaksanakan oleh pegawai-pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara. Untuk mendaftar sebagai PTH (luar negara), anda perlu:
- Datang sendiri ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara;
- Serahkan MyKad anda kepada petugas yang dilantik oleh SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda;
- Nyatakan alamat tempat tinggal di luar Negara anda, pekerjaan anda dan nombor siri borang A kepada petugas untuk diisikan dalam sehelai kertas A4 dan dikepilkan dengan borang pendaftaran anda.
- Semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul, sebelum menurunkan tandatangan;
- Turunkan tandatangan anda setelah berpuas hati; dan
- Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan.