Pendaftaran : Pertukaran Alamat Dan Maklumat Daftar Pemilih

1 Q: Bagaimana menukar alamat di dalam daftar pemilih SPR daripada alamat asal kepada alamat baru seperti di dalam Kad Pengenalan?

A: Mereka boleh berurusan dengan semua Pusat Pendaftaran dan Penolong Pendaftar Pemilih yang dibenarkan oleh SPR untuk membuat pendaftaran tukar alamat.

 

2 Q: Dimanakah saya boleh membuat semakan status pendaftaran?

A: i) Di Ibu Pejabat Pilihan Raya SPR, Malaysia

ii) Di Pejabat Pilihan Raya Negeri

iii) Portal Rasmi SPR – www.spr.gov.my

iv) Unit Out-Reach SPR

 

3 Q: Apakah prosedur yang harus diikuti sekiranya pemilih ingin membuat pindaan maklumat seperti agama dan bangsa?

A: Pindaan butiran maklumat seperti agama dan bangsa boleh dibuat di Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara dengan mengemukakan Kad Pengenalan dan bukti-bukti dokumen lain yang berkaitan.

 

4 Q: Berapa lamakah tempoh yang diperlukan oleh SPR untuk membuat pembetulan maklumat seperti agama, bangsa dan Kad Pengenalan?

A: i)

Pembetulan apa-apa butiran maklumat yang kecil seperti agama dan bangsa diambil tindakan sebaik sahaja permohonan dibuat di Pejabat Pilihan Raya Negeri yang seterusnya akan dihantar ke Ibu Pejabat SPR untuk kelulusan.

ii) Pembetulan nama dan maklumat lain mengikut yang tertera di dalam Kad Pengenalan dibuat oleh Ketua Pendaftar dalam tempoh dua (2) minggu.

iii) Untuk mempastikan butiran maklumat pemilih tepat dan terkini, dinasihatkan supaya pemilih menyemak nama mereka dan jika ada keperluan, pemilih boleh membuat permohonan untuk pembetulan mengikut maklumat di dalam Kad Pengenalan.

 

5 Q: Terdapat pasangan suami/isteri yang mengundi di tempat yang berlainan, mengapa hal ini berlaku?

A: Terdapat suami/isteri yang mendaftar menggunakan alamat yang berbeza. Selain itu, jika mereka mendaftar di alamat yang sama kemugkinan ini berpunca dari kesilapan semasa urusan kemasukan data oleh kakitangan SPR disebabkan kerana terdapat tempat-tempat yang mempunyai/menggunakan nama-nama yang serupa di negara ini.

 

6 Q: Mengapa wujudnya nombor kad pengenalan yang sepatutnya lelaki tetapi digunakan oleh perempuan?

A: Ini berlaku mungkin berpunca dari kesilapan semasa urusan pendataan di peringkat JPN atau mungkin sewaktu kemasukan data semasa urusan pendaftaran pemilih oleh kakitangan SPR.

 

7 Q: Kenapa wujud perbezaan nombor Kad Pengenalan dalam daftar pemilih dengan Kad Pengenalan asal?

A: Perbezaan butiran nombor Kad Pengenalan kemungkinan wujud berpunca kesilapan pendataan mengikut sistem pendaftaran lama. Di bawah sistem pendaftaran semasa yang diamalkan sekarang, tidak wujud kesilapan tersebut kerana SPR menghubungi secara on-line dengan Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) semasa urusan pendataan.

 

8 Q: Adakah boleh kita menukar nama seseorang yang memeluk agama Islam kepada nama Islamnya sedangkan dalam pangkalan data masih nama asal?

A: Tidak Boleh. Seseorang yang memeluk agama Islam perlu menukar nama di dalam Kad Pengenalan terlebih dahulu sebelum nama Islam boleh dimasukkan dalam Daftar Pemilih.

 

9 Q: Mengapa nama pemilih masih kekal di tempat mengundi asal walaupun beliau telah membuat permohonan untuk pertukaran di alamat yang baru ?

A: Alamat permohonan untuk pertukaran alamat itu tidak sama dengan alamatnya seperti yang tertera dalam Kad Pengenalan. Perkara ini boleh berlaku bagi permohonan yang dibuat sebelum 16 Julai 2002. Sebarang permohonan untuk pertukaran alamat dalam daftar pemilih hendaklah mengikut alamat dalam Kad Pengenalan. Sekiranya pemilih bercadang untuk berpindah tempat mengundi dia hendaklah terlebih dahulu memohon untuk pertukaran alamat di dalam Kad Pengenalan di JPN. Selepas itu dia bolehlah memohon untuk pertukaran alamat tempat mengundi dalam daftar pemilih di mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau di Pejabat Pos berkomputer di seluruh negara.

 

10 Q: Apakah prosedur bagi pemilih berdaftar membuat pertukaran alamat pusat mengundi dan di manakah urusan tersebut boleh dibuat?

A: Pemilih berdaftar yang telah berpindah alamat tempat bermastautin boleh menukar alamat pusat mengundi dengan cara membuat pertukaran alamat terlebih dahulu dalam Kad Pengenalan di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN). Selepas itu bawa resit pertukaran alamat yang dikeluarkan oleh JPN dan pergi ke mana-mana kaunter SPR untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi dengan mengisi Borang A. Urusan pertukaran alamat pusat mengundi hanya boleh dibuat di kaunter-kaunter SPR di Ibu Pejabat SPR dan Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan kaunter-kaunter Pejabat Pos berkomputer sahaja.

 

11 Q: Kenapakah SPR tidak melaksanakan sistem pertukaran alamat pusat mengundi secara on-line?

A: Setiap urusan permohonan pertukaran alamat pusat mengundi hendaklah dibuat oleh pemohon itu sendiri dengan mengisi Borang Pendaftaran Pemlih (Borang A) dan mengemukakan permohonan kepada Pendaftar/Penolong Pendaftar Pemilih seperti mana yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

 

12 Q: Kenapakah SPR tidak boleh menukarkan alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar secara automatik apabila seseorang itu telah menukar alamat bermastautin dalam kad pengenalan?

A: Mengikut Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan jika seseorang pemilih berdaftar tidak membuat apa-apa permohonan untuk bertukar pusat mengundi, namanya tetap kekal disenaraikan di alamat asal tempat dia mendaftar sebagai pemilih walaupun pada hakikatnya dia telah pun menukar alamatnya dalam Kad Pengenalan di tempat baru. Peraturan 12(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 pula menetapkan bahawa SPR hanya boleh menukar alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar jika pemilih berkenaan memohon pertukaran dan telah mengisi Borang A yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.