Pilihan Raya

SISTEM PILIHAN RAYA

Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan ”First-Past-The-Post-System”. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN PILIHAN RAYA

Bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya dipatuhi sepenuhnya. Undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal adalah seperti yang berikut:

  1. Perlembagaan Persekutuan
  2. Perlembagaan Negeri
  3. Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957
  4. Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5)
  5. Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19)
  6. Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981
  7. Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002
  8. Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Antarannya termasuklah

  1. Akta Polis 1967;
  2. Akta Hasutan 1958;
  3. Akta Rahsia Rasmi 1971 dan
  4. Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.

KELAYAKAN CALON

Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:

  1. warganegara Malaysia
  2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon;
  3. tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dimana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen; dan
    tidak hilang kelayakan

Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:

  1. Telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
  2. Didapati seorang bankrap; atau
  3. Memegang jawatan berkepentingan ”office of profit”; atau
  4. Gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
  5. Telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak
    kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau
  6. Telah memperoleh kewarganegaraan asing.

ELEMEN-ELEMEN PENTING PILIHAN RAYA

Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:

  1. Bahagian Pilihan Raya
  2. Pemilih
  3. Calon
  4. Proses Pilihan Raya

JENIS-JENIS PILIHAN RAYA

  1. Pilihan Raya Umum
  2. Pilihan Raya Kecil

Pilihan Raya Umum diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun. Pilihan Raya Kecil pula berlaku untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di luar jangka disebabkan oleh:

  1. Kematian
  2. Perletakan Jawatan.
  3. Hilang Kelayakan.
  4. Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya
  5. Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, perlu diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum hendaklah diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Pilihan Raya Kecil juga diadakan apabila ada kekosongan dan perlu diselesaikan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan atas sebab-sebab kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PERINGKAT-PERINGKAT PILIHAN RAYA

Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia melibatkan enam peringkat iaitu pengeluaran writ, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.

Pengeluaran Writ

Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

Penamaan Calon

Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, diantara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiga sekali. Selain dari penyerahan tiga salinan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri. Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem.

Kertas-kertas penamaan yang diterima akan di pamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang terdaftar di kawasan berkenan. Apabila selesai urusan tersebut Pegawai Pengurus akan mengistiyarkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang saja calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.

Kempen Pilihan Raya

Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster, ceramah-ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen ini perlu dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Begitu juga pemasangan poster ia perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan dari pihak polis.

Pengundian

Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada didalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang diseluruh negara. Namun demikian ada juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan terutamanya di Sabah dan Sarawak. Setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi. Ianya diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua hingga empat orang pembantu. Bagi pengundi-pengundi tidak hadir atau kalangan yang layak mengundi secara pos, mereka boleh mengundi lebih awal dari hari mengundi yang ditetapkan. Namun demikian semua kertas undi yang telah ditandakan perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus pada jam 5.00 petang hari mengundi tersebut.

Penjumlahan Rasmi Undi

Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiran kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan kedalam borang 14. Semua borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramaisatu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13