Simulasi Pilihan Raya di SMK Raja Permaisuri Bainun: Muhammad Afiq Daniel Cipta Sejarah
Pada Jumaat, 11 Oktober 2024, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, menyaksikan simulasi pilihan raya persis pilihan raya sebenar, di mana pelajar mengundi untuk memilih Ketua Umum sesi 2025/2026. Simulasi ini dikenali sebagai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N2045 Bainun, yang dianjurkan oleh Panitia Sejarah dan Unit Pengawas sekolah dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak.
Pengetua sekolah, Datin Khalilah Za’aba, menyatakan bahawa simulasi ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran pelajar tentang sistem demokrasi, melibatkan elemen penamaan calon, kempen, dan pengundian. Ia bertujuan memberikan pengalaman secara langsung kepada pelajar tentang peranan calon, pengundi, serta petugas pilihan raya.
Dalam keputusan yang diumumkan oleh Datin Khalilah, Muhammad Afiq Daniel Baharuddin, calon dari Parti Bugatti dan pelajar Tingkatan 4 Rho, mencipta sejarah apabila memenangi PRK N.2045 Bainun dengan 56 peratus undian, mengatasi lima calon lain. Seramai 562 pengundi berdaftar mengambil bahagian dalam simulasi ini, terdiri daripada 154 pengundi awal (guru dan petugas) dan 407 pengundi dalam kalangan pelajar. Satu undi pos juga diterima daripada seorang guru yang bercuti sakit.
Simulasi yang berlangsung bermula 3 Oktober dengan sesi Penamaan Calon, diikuti kempen selama tiga hari bermula 7 Oktober, memberikan pendedahan yang berharga kepada pelajar mengenai proses demokrasi dan tanggungjawab sebagai pengundi.