Category: AKTIVITI SEMASA
MAC 2026
Tiada program pada bulan ini.
Perlawanan Persahabatan PPN Perak vs JAKOA Perak
Perlawanan Persahabatan Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak vs JAKOA Perak Semarakkan Semangat Kesukanan
Ipoh, 4 Jun 2025 – Kelab Sukan dan Kebajikan Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak (KSK PPN Perak) telah menganjurkan satu perlawanan persahabatan badminton antara pasukan Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak bertempat di MBC, Jalan Kuala Kangsar.
Pertandingan yang berlangsung dalam suasana penuh semangat ini menyaksikan pasukan JAKOA Perak menewaskan pasukan PPN Perak dengan keputusan 5-3. Meskipun keputusan tidak berpihak kepada PPN Perak, namun semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan daya juang yang tinggi tetap jelas terpancar sepanjang perlawanan.
Anjuran ini bertujuan bukan sahaja untuk bersaing secara sihat di gelanggang, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturrahim, memupuk semangat setiakawan, serta memperkukuh jaringan kerjasama antara jabatan melalui aktiviti riadah yang sihat dan bermanfaat.
KSK PPN Perak merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemain, penyokong dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, dan berharap lebih banyak aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penjawat awam negeri Perak.
Pelupusan Kertas Undi dan Dokumen Pilihan Raya PRK N.48 Ayer Kuning
Tapah, 12 Jun 2025 – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.48 Ayer Kuning telah melaksanakan proses pelupusan kertas undi dan dokumen pilihan raya bertempat di Tapak Stor Majlis Daerah Tapah, bermula jam 9.00 pagi hingga selesai.
Pelupusan ini merupakan sebahagian daripada prosedur pasca pilihan raya yang dilaksanakan mengikut ketetapan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. Antara bahan yang dilupuskan termasuk kertas undi biasa, undi awal dan undi pos, senarai pemilih, serta dokumen rasmi berkaitan urusan pengundian dan pengiraan undi.
Proses pelupusan dijalankan secara telus dan terkawal, dengan kehadiran pegawai SPR, wakil-wakil calon serta pihak keselamatan bagi memastikan pematuhan kepada tatacara pelupusan yang ditetapkan serta menjaga kerahsiaan maklumat pemilih.
SPR komited untuk memastikan setiap proses pilihan raya, termasuk urusan pelupusan bahan, dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan bertanggungjawab demi mengekalkan kepercayaan awam terhadap sistem demokrasi negara.
Penyisihan Peti Khas PRK N.48 Ayer Kuning
Ayer Kuning, 11 Jun 2025 – Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning telah melaksanakan proses penyisihan peti khas bagi tujuan perlupusan kertas undi di premis pejabat berkenaan.
Proses ini dilaksanakan selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 25E, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, yang memperuntukkan tatacara penyisihan dan perlupusan bahan-bahan pilihan raya selepas tempoh penyimpanan rasmi tamat.
Penyisihan melibatkan pengasingan peti undi yang mengandungi kertas undi biasa, kertas undi awal dan kertas undi pos, serta semakan teliti bagi memastikan segala dokumen yang terlibat adalah lengkap dan teratur. Ia dilaksanakan dengan kehadiran dan pemantauan pegawai pilihan raya yang berautoriti serta wakil-wakil calon, bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti proses tersebut.
Perlupusan kertas undi ini adalah sebahagian daripada prosedur pasca pilihan raya yang penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti dokumen pilihan raya terpelihara selepas ia tidak lagi diperlukan secara rasmi.
SPR komited untuk memastikan semua proses dilaksanakan mengikut undang-undang dan piawaian yang ditetapkan, selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi yang telus dan berintegriti.
Semangat Ramadan: Program Bubur Lambuk Anjuran KSK Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak
Ipoh, 11 Mac 2025 – Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK), Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dengan kerjasama Masjid Negeri Perak telah menganjurkan Program Bubur Lambuk sempena bulan Ramadan. Program ini bermula seawal jam 7.30 pagi dengan aktiviti penyediaan dan memasak bubur lambuk di perkarangan masjid.
Acara ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja, tetapi juga sebagai salah satu bentuk amal kebajikan bagi menyemarakkan semangat Ramadan. Setelah selesai proses memasak, bubur lambuk diedarkan ke seluruh jabatan di Bangunan Persekutuan, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), THP Utara Facilities Sdn. Bhd. (THP), dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Program ini mendapat sambutan hangat daripada para petugas dan kakitangan yang turut serta dalam gotong-royong penyediaan bubur lambuk. Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu tradisi tahunan yang membawa keberkatan kepada semua pihak yang terlibat.
𝐒𝐞𝐬𝐢 𝐓𝐚𝐤𝐥𝐢𝐦𝐚𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐚𝐰𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐎𝐩𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐡𝐢𝐝𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐰𝐚𝐦 (𝐒𝐒𝐏𝐀) 𝐏𝐏𝐍 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤.
𝟏𝟖 𝐎𝐤𝐭𝐨𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟒, bertempat di 𝐁𝐢𝐥𝐢𝐤 𝐆𝐞𝐫𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐲𝐚 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤 (𝐏𝐏𝐍 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤), satu sesi taklimat mengenai 𝐎𝐩𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐡𝐢𝐝𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐰𝐚𝐦 (𝐒𝐒𝐏𝐀) telah diadakan. Taklimat tersebut disampaikan oleh 𝐄𝐧. 𝐀𝐦𝐢𝐫 𝐒𝐡𝐚𝐟𝐫𝐢𝐳𝐚𝐧 𝐛𝐢𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧, 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐒𝐮𝐦𝐛𝐞𝐫 𝐌𝐚𝐧𝐮𝐬𝐢𝐚 𝐒𝐮𝐫𝐮𝐡𝐚𝐧𝐣𝐚𝐲𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐡𝐢𝐝𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐰𝐚𝐦 (𝐒𝐏𝐑).
Sesi yang bermula pada jam 9.00 pagi ini bertujuan untuk memberikan penerangan jelas mengenai pelaksanaan SSPA kepada seluruh warga PPN Perak. En. Amir menekankan pentingnya sistem ini dalam meningkatkan efisiensi pengurusan saraan dan memberi manfaat kepada pegawai awam.
Beliau turut menerangkan prosedur pemilihan opsyen, serta faedah-faedah yang bakal dinikmati oleh pegawai yang memilih untuk beralih ke sistem baru ini. Antara isu yang dibincangkan adalah mengenai kelayakan, pemilihan opsyen, dan tatacara pengisian borang.
Sesi ini diakhiri dengan sesi soal jawab, di mana peserta diberikan peluang untuk mengajukan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai SSPA. Dengan taklimat ini, diharapkan semua warga PPN Perak dapat memahami dan memanfaatkan sistem saraan yang diperkenalkan demi kebaikan bersama.
















































