Program Pendidikan Pengundi PPN Perak di MRSM Taiping
Taiping, 12 Jun 2025 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Perak telah menganjurkan Program Pendidikan Pengundi bertempat di Dewan Sri Larut, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping. Program yang berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang ini berjaya menarik penyertaan seramai 600 orang peserta.
Objektif utama program ini adalah untuk menyemai kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda, khususnya berkaitan dengan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi serta proses pilihan raya di negara ini. Para pelajar didedahkan dengan maklumat penting mengenai sistem demokrasi, proses pendaftaran pemilih, serta kaedah pengundian yang betul dan sah.
Program ini dikendalikan oleh En. Mohamad Azrul bin Jamaludin selaku penceramah utama, manakala dibantu oleh barisan pembantu penceramah berpengalaman iaitu Pn. Rahimah binti Malek, Pn. Nik Salwani binti Juhan, dan Cik Azlina binti Zali.
Sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta membuktikan bahawa golongan muda semakin peka terhadap peranan mereka dalam membentuk masa depan negara melalui saluran demokrasi. PPN Perak merakamkan penghargaan kepada pihak MRSM Taiping atas kerjasama erat dalam merealisasikan penganjuran program ini.