Pelupusan Kertas Undi dan Dokumen Pilihan Raya PRK N.48 Ayer Kuning
Tapah, 12 Jun 2025 – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.48 Ayer Kuning telah melaksanakan proses pelupusan kertas undi dan dokumen pilihan raya bertempat di Tapak Stor Majlis Daerah Tapah, bermula jam 9.00 pagi hingga selesai.
Pelupusan ini merupakan sebahagian daripada prosedur pasca pilihan raya yang dilaksanakan mengikut ketetapan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. Antara bahan yang dilupuskan termasuk kertas undi biasa, undi awal dan undi pos, senarai pemilih, serta dokumen rasmi berkaitan urusan pengundian dan pengiraan undi.
Proses pelupusan dijalankan secara telus dan terkawal, dengan kehadiran pegawai SPR, wakil-wakil calon serta pihak keselamatan bagi memastikan pematuhan kepada tatacara pelupusan yang ditetapkan serta menjaga kerahsiaan maklumat pemilih.
SPR komited untuk memastikan setiap proses pilihan raya, termasuk urusan pelupusan bahan, dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan bertanggungjawab demi mengekalkan kepercayaan awam terhadap sistem demokrasi negara.