Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Bangunan Persekutuan Tahun 2025.
Ipoh, 6 Mei 2025 (Selasa) – Kemeriahan diraikan penuh semangat perpaduan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Bangunan Persekutuan Ipoh Tahun 2025, yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di perkarangan Bangunan Persekutuan Ipoh.
Majlis dimulakan dengan ketibaan Ketua-Ketua Jabatan dan pendaftaran para tetamu, diikuti bacaan doa dan ucapan aluan oleh Pengerusi Bangunan Persekutuan Ipoh merangkap Pengarah LPPKN Negeri Perak. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pertandingan nyanyian antara jabatan, pertandingan pakaian tercantik, dan yang paling mencuri tumpuan, pertandingan gerai tercantik.
Pemenang gerai tercantik adalah seperti berikut:
1. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
2. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)
3. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
4. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
Setiap jabatan tampil kreatif menghias gerai masing-masing dengan elemen tradisional dan moden, menjadikannya tarikan utama majlis. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu raya, jamuan pelbagai juadah tradisional, dan cabutan bertuah yang disampaikan oleh barisan kepimpinan jabatan.
Majlis bersurai pada jam 12.00 tengah hari dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan serta ucapan penutup. Sambutan ini berjaya mengeratkan ukhuwah antara warga kerja pelbagai jabatan.