DUN Ayer Kuning Kosong, Speaker Serah Notis kepada SPR

By , 28/02/2025

IPOH, 28 Februari – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 10.15 pagi.

“Tujuan sesi ini diadakan adalah bagi memberi pemakluman rasmi dari Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak berkaitan Notis Kekosongan Luar Jangka Kerusi Ahli Dewan Negeri Kawasan N.48 Ayer Kuning,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan Perkara 36(5), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengesahan SPR.

β€œPersidangan DUN Perak dijangka berlangsung dari 15 hingga 19 April ini dan kita percaya SPR akan mengambil kira perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar.

Allahyarham Ishsam, 59, meninggal dunia akibat tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, beliau memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi melalui pertembungan lima penjuru.

Comments are closed

Panorama Theme by Themocracy