Program Pendidikan Pengundi (VEM) – SMK Iskandar Shah, Parit

By , 26/07/2024

𝐏𝐚𝐫𝐢𝐭, 𝟐𝟑 𝐉𝐮𝐥𝐚𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟒 – Seramai 150 pelajar dari Tingkatan 4 dan 6 telah menghadiri 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐧𝐝𝐢 (𝐕𝐄𝐌) 𝐏𝐏𝐍 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit. Program ini bertujuan untuk memberikan pemahaman kepada para pelajar mengenai proses pengundian dan kepentingan demokrasi dalam sistem pemerintahan negara.

Program ini berlangsung selama 2 hari bermula dari 22 Julai 2024 (Isnin). Program ini telah dimulakan dengan sesi pengenalan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai peranan dan tanggungjawab mereka. Para pelajar diberi penerangan tentang struktur dan fungsi SPR, serta pentingnya melibatkan diri dalam proses pilihan raya untuk memastikan suara mereka didengari.

Selain itu, sesi taklimat juga merangkumi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (PPC) dan kempen yang relevan dengan proses pilihan raya. Para pelajar diperkenalkan kepada strategi dan kaedah kempen yang berkesan serta bagaimana memastikan kempen dijalankan dengan bersih dan adil.

Selanjutnya, taklimat mengenai proses pengundian turut diadakan. Pelajar didedahkan kepada prosedur pengundian, termasuk tatacara mengundi dengan betul. Program ini juga memperkenalkan konsep pengundian tiga saluran, yang bertujuan untuk memudahkan proses pengundian dan mengurangkan kesesakan di pusat pengundian.

Proses pengiraan undi dijelaskan dengan terperinci, dari saat peti undi ditutup sehingga keputusan rasmi diumumkan. Pelajar belajar mengenai integriti dan ketelusan yang perlu dijaga sepanjang proses ini. Akhirnya, program diakhiri dengan simulasi pengisytiharaan pemenang, memberi peluang kepada pelajar untuk memahami secara praktikal bagaimana keputusan pilihan raya diumumkan.

Penceramah utama bagi program ini adalah Puan Shahreen binti Alias dan Mohamad Azrul bin Jamaludin. Turut dibantu oleh empat pembantu penceramah, iaitu Rahimah binti Malik, Nik Salwani binti Juhan, Suri Fairuz Emilia binti Ahmad Laili, dan Azlina binti Zali@Ab Rashid yang memainkan peranan penting dalam memastikan sesi berjalan lancar.

Panorama Theme by Themocracy