Sejarah Pilihan Raya di Sabah

Pilihan Raya Yang Pertama di Sabah

Pilihan Raya pertama di Sabah telah diadakan pada 16 Disember 1962 di bawah Local Government Elections Ordinance untuk 118 ward di pihak berkuasa tempatan. Setiausaha Kolonial bagi Kerajaan Tempatan selaku Penguasa Pilihan Raya bertanggungjawab menjalankan Pilihan Raya tersebut. Persempadanan ward telah dibuat dan Pegawai-pegawai Daerah telah dilantik sebagai pendaftar pemilih bagi setiap daerah berkenaan. Daftar pemilih telah disediakan dan dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada mereka yang layak telah mendaftar . Kempen Pilihan Raya melalui radio, media cetak serta penyebaran risalah telah dilakukan oleh kerajaan bagi tujuan pendidikan rakyat. Seramai 202 calon telah bertanding bagi 118 ward. Calon-calon di 53 ward telah menang tanpa bertanding. Parti Perikatan Sabah yang terdiri daripada United Sabah National Organization (USNO), Borneo Utara National Party (BUNAP) dan United National Kadazan Orgnization (UPKO) telah mencapai kemenangan dengan 86.5 peratus undi.

Bagi Dewan Undangan Negeri Sabah yang mempunyai 32 kerusi, Pilihan Raya Umum yang pertama telah diadakan pada April 1967, iaitu empat tahun selepas mencapai kemerdekaan dan menyertai penubuhan Malaysia pada 1963. Calon-calon Parti Perikatan Sabah (USNO, SCA dan UPKO) telah bertanding, tetapi selepas Pilihan Raya itu hanya USNO dan SCA menubuhkan kerajaan Sabah. Ini merupakan kerajaan Sabah yang pertama melalui proses Pilihan Raya umum secara langsung.

Parti-parti Politik di Sabah

Penubuhan parti-parti politik di Sabah telah berkembang untuk tujuan mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Pada tahun 1961, United Sabah National Organization (USNO) dan United National Kadazan Organization (UPKO), Borneo Utara National Party (BUNAP), gabungan United Party dan Democratic Party, Parti United Pasok Momogun dan Sabah Indian Congress telah bekerjasama dalam Parti Perikatan Sabah dan bertanding dalam Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Walau bagaimana pun, perselisihan faham sesama mereka berlaku selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Meskipun Parti Perikatan mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum yang pertama pada April 1967, namun kerana pergeseran di antara mereka , USNO dan SCA sahaja dapat membentuk kerajaan. Selepas itu ramai Ahli Dewan Undangan Negeri UPKO berpindah menyertai USNO, maka akhirnya UPKO membubarkan dirinya. USNO dan SCA terus bekerjasama dan memerintah Kerajaan Negeri sehingga muncul Parti Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada 1975. Parti Berjaya telah memenangi Pilihan Raya Umum 1976 dengan menewaskan Parti Perikatan Sabah. Selepas itu beberapa parti baru telah muncul termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985. Kemasukan UMNO ke Sabah merupakan perkembangan terbaru dalam era politik Sabah. Dengan kemasukan UMNO ke Sabah, parti USNO telah dibubarkan.

Sumber: 50 Tahun Demokrasi dan Pilihan raya di Malaysia