SEMAKAN DAFTAR PEMILIH TAMBAHAN BULAN NOVEMBER TAHUN 2025 (DPT BLN 11/2025)

Anak Bukit, 23 Disember 2025 – Untuk makluman, Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan November 2025 (DPT BLN 11/2025) boleh dibuat secara atas talian.
DPT BLN11/2025 telah diperaku pada 22 Disember 2025 dan diwartakan pada 23 Disember 2025.
DPT BLN11/2025 ini akan dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 23 Disember 2025 hingga 21 Januari 2026.
DPT BLN 11/2025 ini mengandungi seperti berikut:
- 40,482 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 November 2025 hingga 30 November 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu;
- 14,131 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya; dan
- 1,303 orang pemilih bertukar kategori pengundi/ status.
DPT BLN 11/2025 boleh disemak melalui kaedah-kaedah berikut:
- Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my;
- Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my;
- Aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my;
- Aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau
- Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
UNTUK MENDAPATKAN SENARAI PEMILIH TAMBAHAN BULAN NOVEMBER (DPT BLN 11/2025) SILA KLIK PAUTAN Semakan DPT Kedah
TUNTUTAN
- Dalam tempoh semakan ini, warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 November 2025 hingga 30 November 2025 atau pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi/ status dalam tempoh 1 November 2025 hingga 30 November 2025 yang mendapati namanya tiada dalam DPT BLN11/2025 boleh mengemukakan TUNTUTAN dengan mengisi Borang C.
- Selain itu, mana-mana pemilih yang namanya ada dalam DPT BLN11/2025 mendapati terdapat kesilapan maklumat atau kesilapan kawasan pendaftaran juga boleh mengemukakan TUNTUTAN dengan mengisi Borang C.
- TUNTUTAN boleh dikemukakan secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja. Tiada bayaran fi dikenakan bagi tuntutan.
BANTAHAN
- Dalam tempoh semakan ini juga, mana-mana pemilih berdaftar di suatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat BANTAHAN ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, hendaklah mengisi Borang D.
- BANTAHAN boleh dikemukakan secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau memuat turun Borang D dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
- Seorang pembantah dibenarkan membantah tidak boleh melebihi 20 nama dengan bayaran fi sebanyak RM10 bagi setiap orang yang dibantah (OKB).
- Pembantah hendaklah hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja untuk mengemukakan Borang D (sekiranya menggunakan borang yang dimuat turun) serta bayaran fi bagi bantahan tersebut termasuklah bagi permohonan yang dibuat secara dalam talian.
BORANG C :- BORANG TUNTUTAN
BORANG D :- BORANG BANTAHAN





