PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
BAHAGIAN VIII – PILIHAN RAYA

Perkara 114. Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas
berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi,
seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

(2) Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah
mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang
mendapat kepercayaan awam.

(3) Seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya terhenti daripada memegang jawatan
apabila mencapai umur enam puluh enam tahun atau apabila hilang kelayakan di bawah
Fasal (4) dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang
ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi
tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atau alasan dan mengikut cara yang sama
seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

(4) Walau apa pun apa-apa jua dalam Fasal (3), Yang di-Pertuan Agong hendaklah
melalui perintah memecat daripada jawatan mana-mana anggota Suruhanjaya Pilihan
Raya jika anggota itu—

(a) seorang bankrap belum lepas; atau
(b) melibatkan diri dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar
di luar tugas jawatannya; atau
(c) ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri.

(4A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di
bawah Fasal (4), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hilang kelayakan untuk memegang
jawatan itu jika selepas tiga bulan pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa
selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga
pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan,
mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau manamana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak
dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:
Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau
badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah
kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain
yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah,
untung atau faedah daripadanya.

(5) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan
anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah
dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(5A) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, Parlimen boleh melalui undang-undang
membuat peruntukan bagi terma jawatan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya selain saraan
mereka.

(6) Saraan dan terma lain jawatan bagi seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya
tidaklah boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(7) Jika, dalam apa-apa tempoh, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya telah diberi
kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya
kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka timbalan
pengerusi hendaklah menunaikan fungsi pengerusi selama tempoh itu, dan jika timbalan
pengerusi juga tidak ada atau tidak dapat menunaikan fungsi itu, maka seorang anggota
Suruhanjaya Pilihan Raya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan
fungsi pengerusi selama tempoh itu.

 

X