Perlembagaan Negeri

Petikan perkara-perkara berhubungkait dengan urusan pilihan raya…

UNDANG-UNDANG TUBUH KERJAAN NEGERI TERENGGANU

28.
Tiap-tiap warganegara yang berumur 21 tahun atau lebih yang bermastautin di dalam negeri ini layak menjadi ahli Dewan Negeri, melainkan ia tidak dilayakkan menjadi ahli oleh Perlembagaan Persekutuan atau oleh perlembagaan ini atau oleh mana-mana undang-undang seperti yang tersebut di dalam Fasal 29 itu.

29.
(1) Tertakluk kepada syarat-syarat Fasal ini maka tidaklah layak seseorang itu boleh menjadi ahli Dewan Undangan Negeri jika sekiranya :

a. dia seorang yang tidak atau didapati atau diakui tidak siuman akal fikirannya;

b. Dia seorang muflis (bankrupt) yang belum selesai tanggungannya sebagai muflis itu;

c. Setelah dilantik menjadi calon pilihan raya kerana hendak menjadi ahli Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, atau setelah menjadi wakil calon kepada seseorang yang dilantik demikian itu, dia tidak menghantarkan kenyataan belanja-belanja pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang di dalam masa dan dengan cara yang dikehendaki itu;

d. Dia telah didapati sabit melakukan sesuatu kesalahan, oleh sesebuah mahkamah undang-undang dalam Malaysia ini dan dihukum penjara selama tiada kurang daripada satu tahun atau dihukum denda tiada kurang daripada dua ribu ringgit serta tiada menerima keampunan;

f. dia tidak dilayakkan menurut mana-mana undang-undang berkenan dengan kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pilihan raya-pilihan raya sama ada kerana hendak menjadi ahli Dewan Parlimen atau kerana hendak menjadi ahli Dewan Undangan Negeri dengan sebab telah didapati sabit melakukan kesalahan yang seumpama itu atau setelah dibicarakan berkenaan dengan sesuatu pilihan raya yang menjadi kesalahan itu; atau

g. dia dengan sukarelanya telah menjadi warganegara, atau menggunakan hak-hak kewarganegaraan di dalam, sebuah negara asing atau mengaku taat setianya kepada negara asing.

(2) syarat tidak melayakkan seseorang menurut perenggan (d) atau perenggan (e) di bawah syarat (1) itu bolehlah diampuni oleh Duli Yang Mulia dan hendaklah, jika sekiranya tidak diampuni sedemikian, terlucut pada akhir tempoh lima tahun mulai dari tarikh dikehendaki menghantarkan kenyataan belanja-belanja yang tersebut di dalam perenggan (d) itu atau, mana-mana yang berkenaan, mulai daripada tarikh orang yang disabitkan kesalahannya seperti yang tersebut di dalam perenggan (e) itu dilepaskan daripada tahanan atau pada tarikh denda yang tersebut pada perenggan (e) itu dikenakan, dan seseorang tidaklah boleh menjadi tidak layak menurut perenggan (g) di bawah Syarat (1) itu dengan sebab sesuatu yang dilakukan olehnya sebelum dia menjadi seorang wargenegara.

(3) Seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Undangan Negeri hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan keahliannya berkuatkuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri.

29.
A. Jika sekiranya apa-apa soal sama ada seserang ahli Dewan Undangan Negeri itu menjadi tidak layak menjadi ahlinya maka keputusan Dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah menjadi muktamad.

B. Tidaklah boleh seseorang menjadi ahli Dewan Undangan Negeri mewakili lebih daripada satu kawasan pilihan raya pada satu masa itu juga.

30.
(1) Jika sekiranya seseorang ahli Dewan Undangan Negeri meninggal dunia atau menjadi tidak layak boleh menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu maka hendaklah tempatnya itu menjadi kosong.

(2) Jika sekiranya seseorang yang tidak layak boleh menjadi ahli Dewan Undangan Negeri dipilih ke dalam Dewan itu, atau jika sekiranya sesuatu pilihan berlawanan dengan kehendak Fasal 29, maka menjadi batallah pilihan itu.

(3) Jika sekiranya pilihan seseorang itu akan atau harus menjadi batal menurut Syarat (2) maka batallah lantikannya menjadi calon pilihan raya itu.

(4) Tidaklah menjadi sah dilantik seseorang menjadi calon kerana hendak menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu jika tiada dengan keredaanya.

44.
(1) Duli yang maha mulia/Sultan bolehlah dari semasa ke semasa memanggil dewan negeri bermesyuarat dan hendaklah jangan dibiar lampau selama 6 bulan diantara mesyuarat yang akhir di dalam satu tempoh persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat pertama di dalam tempoh persidangan yang dikehendaki.

(2) Duli yang maha mulia/Sultan bolehlah memberhenti atau membubarkan dewan negeri.

(3) Dewan negeri itu melainkan telah terbubar terlebih awal lagi hendaklah terus berjalan selama 5 tahun daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah selepas itu menjadi terbubar.

(4) Apabila dewan negeri itu dibubarkan maka hendaklah diadakan pilihan raya am dalam masa 60 hari daripada tarikh pembubaran itu dan dewan negeri yang baharu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh tidak lewat daripada 90 hari daripada tarikh itu.

(5) Tempat yang menjadi kosong hendaklah diisi dalam masa 60 hari daripada tarikh terjadinya:

Dengan syarat bahawa jika tempat yang menjadi kosong itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Undangan Negeri hendaklah, mengikut Syarat (3), menjadi bubar, maka tempat yang menjadi kosong itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang Dipertua Dewan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Undangan Negeri terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan itu kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

Comments are closed