Soalan Lazim

 

1

Q: Siapakah yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi?
A: Warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas dan bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya.

2

Q: Mengapa anda perlu mendaftar ?
A: Anda perlu mendaftar sebagai pengundi untuk menjamin hak anda mengundi di dalam sesuatu pilihan raya dan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara.

3

Q: Apakah kaedah pendaftaran dan bagaimanakah cara untuk mendaftar ?
A: i) Pendaftaran Tetap seperti di kaunter Ibu Pejabat SPR, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos Berkomputer. Pemohon perlu mengisi Borang A berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kad pengenalan, resit JPN KPPK 9 atau Resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

ii) Pendaftaran Bergerak seperti Unit Bergerak SPR, Penolong Pendaftar (Parti Politik) atau Penolong Pendaftar di Pejabat-Pejabat Kerajaan. Pemohon perlu mengisi Borang A berdasarkan maklumat yang terdapat dalam kad pengenalan, resit JPN KPPK 9 atau Resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

4

Q: Di manakah pusat-pusat pendaftaran?
A: i) Ibu Pejabat SPR Putrajaya
ii) Pejabat Pilihan Raya Negeri
iii) Pejabat Pos Berkomputer
iv) Tempat-tempat tumpuan umum seperti pasar malam, taman-taman perumahan yang dikunjungi oleh Unit Bergerak SPR.
v) Pejabat Daerah/Pejabat Majlis Daerah
vi) Pusat-pusat membeli belah atau pasaraya

5

Q: Bilakah tempoh urusan pendaftaran pengundi dijalankan?
A:

Bil

Tempat

Masa

1

Ibu Pejabat SPR Putrajaya

WAKTU PEJABAT

2

Pejabat Pilihan Raya Negeri

3

Pejabat Pos Berkomputer Terpilih

4

Pejabat Daerah/Majlis Daerah

5

Unit Pendaftaran Bergerak SPR

WAKTU YANG SESUAI

6

Penolong Pendaftar (Sementara) yang dilantik oleh SPR.

6

Q: Adakah boleh nama pemilih yang panjang dimuatkan sebagaimana yang dikehendaki ?
A: Nama pemilih adalah mengikut sepertimana yang terdapat pada kad pengenalan tertakluk kepada maksimum 60 aksara (huruf).

7

Q: Bolehkah mendaftar di pejabat pos dengan menggunakan resit JPN KPPK 9 atau resit JPN KPPK11 ?
A: Boleh dengan syarat resit JPN KPPK 11 hendaklah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Manakala resit JPN KPPK9 tidak perlu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

8

Q: Adakah boleh pasangan anggota tentera memilih untuk mendaftar sebagai pemilih awam / biasa ?
A: Pasangan kepada anggota tentera diberi pilihan untuk memilih sebagai pengundi biasa mengikut (Peraturan-Peraturan Pilihan Raya Pendaftaran Pemilih) 2002.

9

Q: Adakah pendaftaran menggunakan kad pengenalan 8 digit masih boleh digunakan?
A: Peraturan-peraturan yang ada membenarkan penggunaan Kad Pengenalan lapan (8) digit untuk mendaftar sebagai pemilih.

10

Q: Bolehkah pendaftaran pemilih menggunakan sijil lahir?
A: Tidak Boleh.

11

Q: Bolehkah seseorang itu mendaftar bagi pihak orang lain (warisnya)?
A: Tidak Boleh. Mengikut peraturan yang ada (Peraturan-Peraturan Pilihan Raya Pendaftaran Pemilih) 2002 seseorang perlu hadir sendiri untuk mendaftar sebagai pemilih.
PENDAFTARAN : PERTUKARAN ALAMAT DAN MAKLUMAT DALAM DAFTAR PEMILIH

1

Q: Bagaimana menukar alamat di dalam daftar pemilih SPR daripada alamat asal kepada alamat baru seperti di dalam Kad Pengenalan ?
A: Mereka boleh berurusan dengan semua Pusat Pendaftaran dan Penolong Pendaftar (Sementara) yang dilantik oleh SPR kecuali Penolong Pendaftar dari Parti Politik.

2

Q: Dimanakah saya boleh membuat semakan status pendaftaran?
A: i) Di Ibu Pejabat Pilihan Raya SPR, Malaysia
ii) Di Pejabat Pilihan Raya Negeri
iii) Laman web SPR – www.spr.gov.my
iv) Unit pendaftaran bergerak

3

Q: Apakah prosedur yang harus diikuti sekiranya pemilih ingin membuat pindaan maklumat seperti agama dan bangsa?
A: Pindaan maklumat-maklumat mengenai pindaan agama dan bangsa boleh dibuat terus dengan Pejabat Pilihan Raya Negeri dengan mengemukakan kad pengenalan dan bukti-bukti lain yang berkaitan.

4

Q: Berapa lamakah tempoh yang diperlukan oleh SPR untuk membuat pembetulan maklumat seperti agama, bangsa dan Kad Pengenalan ?
A: i) Pembetulan yang kecil seperti maklumat-maklumat agama dan bangsa diambil tindakan sebaik sahaja permohonan dibuat di Pejabat Pilihan Raya Negeri yang seterusnya akan dikemukakan ke Ibu Pejabat untuk tindakan lanjut.
ii) Pembetulan nama dan maklumat lain mengikut yang tertera di dalam Kad Pengenalan dibuat oleh Ketua Pendaftar di Ibu Pejabat dalam tempoh dua (2) minggu.
iii) Untuk mengatasi masalah ini, adalah dinasihatkan supaya pemilih menyemak nama mereka dan kalau ada keperluan, mereka boleh membuat permohonan untuk pembetulan mengikut maklumat di dalam kad pengenalan.

5

Q: Terdapat pasangan suami/isteri yang mengundi di tempat yang berlainan, mengapa hal ini berlaku ?
A: Mereka mendaftar menggunakan alamat yang berbeza. Kemugkinan juga berpunca dari kesilapan semasa urusan kemasukan data oleh kakitangan SPR disebabkan kerana terdapat nama-nama tempat yang serupa di negara ini.

6

Q: Wujudnya nombor kad pengenalan yang sepatutnya lelaki tetapi digunakan oleh perempuan ?
A: Mungkin berlaku kesilapan semasa pendataan oleh JPN atau sewaktu kemasukan data semasa urusan pendaftaran pemilih.

7

Q: Kenapa wujud perbezaan nombor kad pengenalan dalam daftar pemilih dengan kad pengenalan asal ?
A: Perbezaan kemungkinan wujud disebabkan masalah pendataan kurang tepat mengikut sistem lama. Di bawah sistem yang diamalkan sekarang tidak wujud lagi perbezaan kerana SPR menghubungi terus secara “online” dengan Jabatan Pendaftaran Negara semasa membuat pendataan.

8

Q: Adakah boleh kita menukar nama seseorang yang memeluk agama Islam kepada nama Islamnya sedangkan dalam
pangkalan data masih nama asal ?
A: Tidak Boleh. Beliau perlu menukar nama di dalam Kad Pengenalan terlebih dahulu sebelum nama Islam itu digunakan di dalam Daftar Pemilih.

9

Q: Telah membuat pertukaran alamat tetapi masih kekal di tempat mengundi asal ?
A: Kerana alamat permohonan tidak sama dengan alamat dalam Kad Pengenalan. Perkara ini boleh berlaku bagi permohonan yang telah dibuat sebelum 16 Julai 2002. Walau bagaimanapun, sekiranya pemilih berkenaan berhasrat untuk kekal mengundi di tempat asal mereka mendaftar, mereka tidak perlu memohon perpindahan tempat mengundi. Sebaliknya, sekiranya pemohon bercadang untuk berpindah tempat mengundi daripada tempat asal dahulu, mereka hendaklah terlebih dahulu memohon pertukaran alamat di dalam Kad Pengenalan di pejabat Pendaftaran Negara, selepas itu bolehlah mereka memohon untuk berpindah tempat mengundi di alamat terbaru mereka seperti di dalam Kad Pengenalan. Permohonan ini boleh di buat di mana-mana Pejabat Pos, Pejabat Pilihan Raya Negeri dan Ibu Pejabat Pilihan Raya di Putrajaya. Oleh itu pemohon hendaklah memastikan butiran pada borang berkenaan adalah tepat sebelum meninggalkan kaunter pendaftaran.
PEMOTONGAN / PEMBERSIHAN

1

Q: Kenapa pemilih yang telah meninggal dunia tetapi namanya masih ada dalam daftar pemilih?
A: Kerana SPR tidak menerima laporan dan pengesahan kematian pemilih dari Jabatan Pendaftaran Negara atau mungkin nama pemilih yang telah meninggal dunia itu masih dalam proses untuk pemotongan.

2

Q: Bolehkah SPR membuat pemotongan nama mereka yang telah meninggal dunia mengikut rekod JPN?
A: Boleh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya berpuashati dengan bukti-bukti yang dikemukakan serta dengan perakuan Ketua Pendaftar.

3

Q: Apakah yang dilakukan sekiranya seseorang meninggal dunia ataupun hilang kelayakan sebagai pemilih ?
A: Waris hendaklah membuat laporan di Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dengan membawa bersama sijil kematian dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan.
PENGUNDI HANTU

1

Q: Apakah yang dimaksudkan dengan pengundi hantu?
A: Istilah “pengundi hantu” jika hendak digunakan hanya boleh ditafsirkan sebagai pengundi yang telah meninggal dunia tetapi namanya masih terdapat dalan Daftar Pemilih. Ini termasuk pengundi yang menyamar dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi yang telah meninggal dunia yang nama masih belum dipotong oleh SPR.

Comments are closed