Pembersihan / Pengemaskinian Daftar Pemilih

1. Mengapa Kita Perlukan Daftar Pemilih Yang Bersih / Dikemaskinikan?

  • Daftar Pemilih yang bersih dapat menjamin keyakinan orang ramai terutamanya masyarakat pengundi terhadap pilihan raya yang diadakan.

2. Apa Yang Dibersihkan / Dikemaskinikan dalam Daftar Pemilih ?

  • SPR sentiasa menyemak senarai nama dalam daftar pemilih bagi mengeluarkan nama-nama pemilih yang telah meninggal dunia atau hilang kelayakan disebabkan perkara-perkara seperti yang berikut:

(a) lucut atau melepaskan hak warganegara;
(b) kurang siuman;
(c) disabitkan hukuman penjara melebihi 2 tahun; atau
(d) hilang kelayakan sebagai pengundi pos atau pengundi biasa.

  • Selain perkara-perkara yang dinyatakan di atas, SPR turut membersihkan nama pemilih yang TANPA DISEDARI menjadi berganda kerana:

(a) pemilih telah memiliki nombor kad pengenalan baru dan telah mendaftar sekali lagi menggunakan kad pengenalan tersebut tanpa memaklumkan bahawa nombor kad pengenalan lamanya telah tidak aktif dan dikembalikan semula kepada Jabatan Pendaftaran Negara atau sekiranya tidak, telah dilaporkan hilang; dan

(b) pemilih biasa yang telah memasuki perkhidmatan tentera atau polis dan mendaftar sekali lagi sebagai pengundi tidak hadir atau pengundi pos.

3. Bagaimana Daftar Pemilih Dibersihkan?

  • SPR sentiasa menyemak maklumat status warganegara pemilih dengan pangkalan data JPN bagi mendapatkan maklumat berhubung kematian dan lucut/melepaskan hak kewarganegaraan. Selain itu, SPR juga menyemak rekod-rekod pemilih yang tidak lagi aktif atas alasan kehilangan kad pengenalan atau telah memasuki perkhidmatan tentera atau polis dan diberikan nombor kad pengenalan tentera atau polis. Selain JPN, SPR turut mendapatkan kerjasama daripada jabatan/agensi Kerajaan yang lain seperti pihak ATM, PDRM, Kementerian Kesihatan (hospital-hospital), pejabat-pejabat daerah dan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) untuk mendapatkan maklumat berhubungan dengan kematian dan kelayakan pemilih.
  • Proses ini dilakukan setiap suku tahun. Nama-nama pemilih yang telah disemak dan dibuktikan meninggal dunia atau hilang kelayakan sebagai pemilih diproses dan dipamerkan semasa tempoh pameran rang daftar pemilih tambahan diadakan. Sekiranya tiada bantahan diterima dari orang ramai di sepanjang tempoh pameran tersebut, maka, semua senarai yang telah dipamerkan ini akan diperakukan oleh SPR untuk dikeluarkan dari dalam daftar pemilih.

4. Peranan Siapa?

  • Selain SPR, orang ramai terutamanya waris-waris si mati adalah bertanggungjawab untuk memaklumkan SPR berhubungan dengan maklumat-maklumat kematian pengundi. Selain itu, maklumat berhubungan dengan “status hilang layak” pengundi juga boleh dimaklumkan kepada SPR. Untuk memaklumkan maklumat-maklumat tersebut, sila klik di sini