Perkara 21 (Memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan)

(1) Yang di-Pertua Negeri boleh memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa, dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertua Negeri boleh memprorog atau membubarkan Dewan Undangan.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Undangan hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4)  Apabila Dewan Undangan bubar, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Dewan Undangan yang baru itu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Apabila kerusi seseorang ahli dipilih telah menjadi kosong atas apa-apa selain pembubaran, kekosongan itu hendaklah diisi dengan mengadakan pilihan raya mengikut peruntukan Perlembagaan ini dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan adanya kekosongan:

Dengan syarat bahawa jika kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Undangan akan terbubar mengikut Fasal (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Speaker memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Undangan terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari tarikh pemberitahuan itu diterima.