Keputusan Penuh PRK P.051 Bukit Gelugor

Parti Tindakan Demokratik (DAP) berjaya mengekalkan kerusi P.051 Bukit Gelugor pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu hari ini.

Calonnya, Ramkarpal Singh Deo iaitu anak kepada mendiang Karpal Singh yang juga merupakan penyandang kerusi tersebut, telah menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 37,659 , meraih jumlah undi sebanyak 41,242.


KEPUTUSAN PENUH PRK PARLIMEN BUKIT GELUGOR PADA 25 MEI 2014

Ramkarpal Singh Deo (DAP) - 41,242 undi
Datuk Huan Cheng Guan (PCM) - 3,583 undi
Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar (Bebas) - 799 undi
Abu Backer Sidek Mohamad Zan (Bebas) - 225 undi

Majoriti 37,659 undi

Beliau menewaskan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi serta dua calon bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan yang masing-masing mendapat 799 dan 225 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bukit Gelugor, Kapten (B) Anuar Yahya membuat pengumuman itu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Pinang pada Ahad sekitar jam 9.05 malam.

Sebanyak 17 pusat mengundi telah dibuka bagi proses pembuangan undi melibatkan 17 buah sekolah di kawasan itu dan jumlah keseluruhan peti undi termasuk undi pos ialah 144.

Manakala jumlah undi rosak dan undi yang ditolak pula ialah 539.

PRK P.51 Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal yang juga merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP, dalam satu kemalangan lebuh raya pada 17 April lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya 56.4 peratus pengundi atau 46,099 daripada  81,897 pengundi di kawasan itu telah keluar mengundi.

Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP meraih majoriti  undi ketiga tertinggi selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Sim Chee Keong juga dari DAP.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 42,706 serta meraih 55,839 undi.