PENGEMASKINIAN ALAMAT PADA MYKAD SEMPENA PROSES SEMAKAN PRA-PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK (SPPA) OLEH SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA (SPR)

1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang membantu SPR dalam proses pengemaskinian alamat pemilih lanjutan daripada pelaksanaan Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA). Ini lanjutan daripada pengumuman SPR yang meminta pemilih-pemilih supaya mengemaskini alamat pada MyKad sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan.

2. Bagi proses pengemaskinian alamat ini, pemohon boleh hadir ke mana-mana Pejabat JPN yang berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKad tanpa perlu membuat janji temu. Pemohon perlu membawa dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti / cukai pintu / cukai taksiran / borang taksiran cukai pendapatan. Pemohon juga boleh menggunakan perjanjian jual beli rumah / perjanjian / resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon. Pemohon adalah diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.

3. Manakala bagi pemohon yang tidak mempunyai kedua-dua dokumen yang dinyatakan di atas mereka perlu mendapatkan dokumen sokongan dari Ketua Kampung / Tuai Rumah / Penghulu / ADUN / Ahli Parlimen / Majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka.

4. Sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-88807077 atau emel ke pro@jpn.gov.my.