Pengundi Tidak Hadir
PENGUNDI TIDAK HADIR (PTH)
DEFINISI
Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 menetapkan menetapkan bahawa semua warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan dan layak di sisi undang-undang BOLEH MENDAFTAR sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH) jika seseorang itu tergolong dalam mana-mana kategori seperti berikut :
(i). Anggota tentera
(ii). Isteri atau suami kepada anggota tentera
(iii). Kakitangan awam Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara
(iv). Isteri atau suami kepada kakitangan awam Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara
(v). Pelajar sepenuh masa yang belajar di institusi pengajian tinggi di luar negara
(vi). Isteri atau suami kepada pelajar sepenuh masa yang belajar di institut pengajian tinggi di luar negara
Pengundi jenis ini, secara automatiknya adalah pengundi pos semasa pilihan raya, KECUALI:
(i). Anggota tentera
(ii). Isteri atau suami kepada anggota tentera
Anggota Tentera dan Isteri ditetapkan melalui Undang-undang untuk mengundi awal
PENDAFTARAN SEBAGAI PTH
1. Tentera
Urusan pendaftaran setiap anggota tentera dan pasangannya (sama ada isteri atau suami) dibuat melalui kerjasama Jabatan Rekod dan Pencen (JRP), Kementerian Pertahanan.
Pendaftaran dibuat berasaskan kepada TEMPAT ANGGOTA BERTUGAS dan bukannya alamat bermastautin anggota seperti mana yang dibuat bagi pendaftaran pengundi biasa.
2. Anggota Perkhidmatan Awam Yang Berkhidmat Di Luar Negara DAN Pelajar Sepenuh Masa Di Luar Negara
Bagi anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di luar negara dan para pelajar Malaysia yang belajar sepenuh masa di luar negara berserta pasangan masing-masing, urusan pendaftaran mereka dibuat melalui kerjasama Pejabat-pejabat Kedutaan atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara.
Pemilih-pemilih berkenaan didaftarkan sebagai Pengundi Tidak Hadir mengikut ALAMAT DI MALAYSIA YANG TERTERA DI DALAM KAD PENGENALAN masing-masing dan bukannya alamat mereka di luar negara. Pemohon dinasihatkan memaklumkan alamat terkini mereka diluar negara kepada SPR untuk membolehkan kertas undi pos diposkan kepada mereka.
HILANG KELAYAKAN
Bagi mereka yang telah hilang layak, sebagai Pengundi Tidak Hadir, selepas pengesahan diterima dari pihak-pihak yang berkenaan (ATM, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelajaran), SPR akan MEMOTONG NAMA MEREKA DALAM DAFTAR PEMILIH selaras dengan Peraturan 25 (2)(g), Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB INDIVIDU-INDIVIDU ITU SENDIRI untuk MENDAFTAR SEMULA sebagai Pemilih Awam dan boleh membuat pendaftaran di mana-mana sahaja saluran kaunter pendaftaran yang ditetapkan oleh SPR (Ibu Pejabat SPR, Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat pos berkomputer dan Penolong-Penolong Pendaftar yang dilantik oleh SPR).
RUJUKAN UNDANG-UNDANG
- 1. Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002