Kenyataan Media:Orang Ramai Diminta Tidak Percaya Mesej Palsu Yang Ditularkan Menjelang Hari Mengundi

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
Bil.46/2018

ORANG RAMAI DIMINTA TIDAK PERCAYA MESEJ PALSU YANG DITULARKAN MENJELANG HARI MENGUNDI

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati menjelang Hari Mengundi pada 9 Mei 2018 (Rabu), terdapat usaha giat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan pengundi dengan penyebaran pelbagai mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar di media sosial seperti;

a. berlaku pengiraan terhadap undi awal di beberapa bahagian pilihan raya,

b. kertas undi pos telah disapu lilin,

c. kaedah penandaan kertas undi,

d. tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan,

e. terdapat titik hitam pada kertas undi.

2. Berhubung mesej tular yang mendakwa kononnya telah berlaku proses pengiraan undi awal dibeberapa bahagian parlimen, SPR menegaskan bahawa ianya tidak pernah berlaku dan semua kertas-kertas undi awal masih disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis. Kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dikira pada 9 Mei 2018 bermula jam 4.00 petang. Semua proses pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan dibuat dengan disaksikan oleh semua pihak berkepentingan dalam kehadiran Calon-Calon atau ejen-ejen Calon.

3. Manakala mengenai dakwaan kononnya kertas undi pos telah disapu lilin di petak calon tertentu bagi menyukarkan pengundi menanda pangkah di petak tersebut ianya juga adalah palsu. Malah sehingga kini tiada sebarang aduan diterima berkaitan dakwaan itu. SPR juga menjelaskan bahawa setiap kertas undi yang dicetak akan disemak terlebih dahulu dengan teliti pada setiap helaian bagi memastikan tiada sebarang kekotoran seperti tanda titik hitam (black dot).

4. Selain daripada itu, mengenai kekeliruan kaedah penandaan yang betul atau salah, SPR menegaskan bahawa kaedah penandaan yang betul dan digalakkan adalah dengan cara membuat tanda pangkah di dalam salah satu petak mana-mana calon yang dipilih serta tidak melangkau ke petak calon-calon yang lain. Sekiranya terdapat keraguan, ia akan diputuskan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) sama ada diterima atau ditolak dalam kehadiran Ejen-Ejen Mengira Undi bagi Calon yang bertanding.

5. SPR juga menjelaskan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman tentang pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan bagi mereka yang balik mengundi. Ini berikutan terdapat mesej tular yang kononnya pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan di Pejabat Daerah dengan membawa kad pengenalan dan jumlah dibayar akan mengikut jarak perjalanan iaitu antara RM10 hingga RM1,000.

6. Sehubungan dengan orang ramai diminta tidak terpengaruh dan serta turut menyebarkan mesej-mesej palsu tersebut melalui perkongsian di media sosial kerana ianya ia boleh menimbulkan kegemparan dan kekeliruan dikalangan pengundi menjelang hari mengundi. Malahan tindakan menyebarkan maklumat tidak benar merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan Akta tertentu.

Sekian dimaklumkan dan terima kasih.
TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

PUTRAJAYA
Tarikh: 7 Mei 2018/ 21 Syaaban 1439H