Hari Inovasi 2016 Dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 SPR

 

1. APC 2015

 

PUTRAJAYA, 25 Februari 2016 – Seramai 54 warga Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2015 dan 65 warga SPR dianugerahkan dengan Sijil Kepujian (SK). Anugerah ini merupakan satu penghargaan daripada pihak pengurusan SPR terhadap mereka yang telah menunjukkan komitmen unggul dalam melaksanakan tugas harian; selain dedikasi dan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti. Anugerah ini disampaikan oleh Pengerusi SPR, Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd. Hashim bin Abdullah. Pada kali ini seramai empat orang pegawai Pejabat Pilihan Raya Negeri Perlis mendapat pengiktirafan iaitu:

(i). Cik Roziyanti bt.  Ramly (SK)
Timbalan Pengarah (Operasi)

(ii). Encik Azrul Anuar Abd Rahim (SK)
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat

(iii). Encik Zairil b. Husny (APC)
Pembantu Tadbir (Pendaftaran)

(iv). Puan Noor Haslin bt. Othman  (SK)
Pembantu Tadbir (Stor)

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Y.Bhg Pengerusi SPR menyeru warga SPR supaya sentiasa menjunjung hak kesamarataan dalam menentukan kecemerlangan penjawat awam. Beliau berharap kekuatan modal insan yang ada dalam sesebuah agensi seperti SPR sentiasa kukuh dalam menempuh segala pancaroba yang mendatang. Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli-Ahli SPR; Timbalan-Timbalan Setiausaha SPR; Pengarah-Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri; pegawai-pegawai kanan SPR serta kakitangan dari seluruh negara.
Dalam majlis yang sama, Sijil Persaraan turut disampaikan kepada 15 warga SPR yang telah dan bakal bersara pada tahun ini (2016); dan 6 warga SPR menerima Sijil Bakti Setia atas perkhidmatan mereka kepada SPR selama 25 tahun dan ke atas. Antara yang bersara pada tahun ini termasuklah Pengarah Pilihan Raya Negeri Kedah dan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak.

Sebelum itu, telah diadakan program Hari Inovasi 2016 ditempat yang sama, pada kali ini; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengundang Y.Bhg. Datuk Rosyam Nor Shamsuddin; pelakon, pengacara TV, duta produk gaya hidup dan usahawan berjaya sebagai pengisian kepada majlis ini. Ceramah beliau berkisar tentang penjenamaan diri; dengan menerapkan aspek-aspek yang sinonim dengan penjenamaan produk seperti pembungkusan, pemasaran, ilmu berkenaan pengguna sasaran dan penyelidikan berterusan.

 

2. INOVASI 2016

3. INOVASI 2016

Beliau turut menyelitkan dalam ceramah santainya tentang latar belakang, perkembangan kerjaya seni, serta penglibatan beliau dalam industri pertanian dan penternakan. Sesi ceramah beliau turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Setiausaha SPR, PengarahPengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri; pegawai-pegawai kanan SPR; serta warga SPR.