Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, salah satu fungsi SPR adalah untuk mendaftarkan warganegara yang layak sebagai pemilih supaya mereka dapat menyertai proses memilih wakil untuk menyuarakan pendapat mereka dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Urusan pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh SPR semenjak ia ditubuhkan tanpa gagal. Urusan yang dahulunya dilakukan secara bermusim iaitu setahun sekali selama antara 21 hingga 42 hari, kini dibuka setiap hari untuk sepanjang tahun sejak 16 Julai 2002.

Adalah menjadi hak setiap warganegara yang layak untuk memilih kerajaan untuk memerintah negara melalui pemilihan wakil rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibenarkan mengundi wakil rakyat pilihan anda dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, anda perlulah mendaftarkan nama anda sebagai pemilih. Anda tidak boleh mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.

SPR menjalankan dua (2) jenis pendaftaran pemilih iaitu:

  1. Pendaftaran Baru:
    • pendaftaran pemilih buat pertama kali.
  2. Pendaftaran Tukar Bahagian Pilihan Raya:
    • permohonan pemilih berdaftar untuk mendaftarkan alamat tempat tinggalnya yang baru. Sekiranya seorang pemilih berpindah ke tempat baru dan mendaftarkan pertukaran alamat tersebut di SPR, maka Bahagian Pilihan Raya beliau akan ditetapkan mengikut pendaftaran alamat baru itu.

Mengikut undang-undang pilihan raya, SPR boleh mendaftarkan dua (2) jenis pemilih iaitu:

  1. Pengundi Biasa:
    • Pengundi biasa adalah pemilih berdaftar yang perlu hadir untuk mengundi di pusat-pusat mengundi semasa pilihan raya.
  2. Pengundi Tidak Hadir (PTH) :
    • Pengundi Tidak Hadir adalah golongan pemilih yang dinyatakan dalam Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, iaitu, anggota tentera dan pasangan, anggota perkhidmatan awam yang bertugas di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya serta pelajar sepenuh masa yang menuntut di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya.