Pendaftaran Pemilih

LATAR BELAKANG
Mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, salah satu fungsi SPR adalah untuk mendaftarkan warganegara yang layak sebagai pemilih supaya mereka dapat menyertai proses memilih wakil untuk menyuarakan pendapat mereka dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Urusan pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh SPR semenjak ia ditubuhkan tanpa gagal. Urusan yang dahulunya dilakukan secara bermusim iaitu setahun sekali selama antara 21 hingga 42 hari, kini dibuka setiap hari untuk sepanjang tahun sejak 16 Julai 2002.
Adalah menjadi hak setiap warga negara yang layak untuk memilih kerajaan untuk memerintah negara melalui pemilihan wakil rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibenarkan mengundi wakil rakyat pilihan anda dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, anda perlulah mendaftarkan nama anda sebagai pemilih. Anda tidak boleh mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.
SPR menjalankan 2 jenis pendaftaran pemilih iaitu:
(a)
Pendaftaran Baru: SPR menerima permohonan warganegara yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih buat pertama kali.
(b)
Pendaftaran Tukar Alamat dan Pusat Mengundi: SPR juga menerima permohonan pemilih berdaftar yang memohon untuk mendaftarkan alamat tempat tinggalnya yang baru. Ia dikaitkan dengan pertukaran alamat Pusat Mengundi kerana secara lazimnya, sekiranya seorang pemilih berpindah ke tempat baru, maka, Pusat Mengundinya akan ditetapkan mengikut pendaftaran alamat tempat barunya itu.
Mengikut undang-undang pilihan raya, SPR boleh mendaftarkan 2 jenis pemilih iaitu:
(a)
Pemilih Biasa: Pemilih biasa adalah pemilih berdaftar yang perlu hadir untuk mengundi di pusat-pusat mengundi semasa pilihan raya.¬† picture2 

 

 

 

(b)
Pengundi Tidak Hadir: Pengundi Tidak Hadir atau PTH adalah golongan pemilih yang dinyatakan dalam Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, iaitu, anggota tentera dan pasangan, anggota perkhidmatan awam yang bertugas di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya serta pelajar sepenuh masa yang menuntut di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya. PTH ini dibenarkan mengundi secara pos.
picture1