KAJIAN SEMULA DM

BIDANG KUASA                                                 

Urusan Pengemaskinian Daerah Mengundi adalah diperuntukkan mengikut Seksyen 7, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19) yang menjelaskan seperti berikut :

“7.(1) Dengan seberapa segera yang boleh selepas sesuatu bahagian pilihan raya dipersempadankan mengikut Perlembagaan, dan selepas daripada itu apabila mana-mana bahagian pilihan raya diubah atau suatu bahagian pilihan raya baru diwujudkan, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah :-      

  • Membahagi setiap bahagian pilihan raya kepada daerah mengundi;
  • Menguntukkan kepada setiap daerah mengundi suatu huruf atau huruf-huruf pengenalan atau nombor pengenalan atau kedua-duanya;
  • Menetapkan pusat atau pusat-pusat akan ditubuhkan pusat atau pusat-pusat mengundi bagi daerah itu; dan
  • Menyiarkan dalam Warta suatu notis yang menentukan:
  1. Daerah-daerah mengundi yang mengikutnya bahagian pilihan raya itu telah dibahagi;
  2. Huruf atau huruf-huruf pengenalan atau nombor pengenalan atau kedua-duanya yang diperuntukkan kepada setiap daerah mengundi; dan
  3. Pusat atau pusat-pusat yang telah ditetapkan untuk penubuhan pusat atau pusat-pusat mengundi bagi setiap daerah mengundi.

 

DASAR BELAH BAHAGI   

       (i) Jumlah pengundi bagi sesuatu Daerah Mengundi seboleh-bolehnya tidak melebihi 3,850 orang; dan                                   

      (ii) Satu Daerah Mengundi seboleh-bolehnya mempunyai sebuah pusat mengundi.

                                 

TUJUAN BELAH BAHAGI DAN MENGEMASKINIKAN DAERAH-DAERAH MENGUNDI          

       (i)  Bagi memudahkan penjalanan pilihan raya seperti mengelakkan kesesakan;

       (ii) Memudahkan pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar-daftar pemilih;

       (iii) Memudahkan penentuan tempat atau tempat-tempat membuang undi; dan

       (iv) Mendekatkan pemilih dengan pusat mengundi.

                                 

PRINSIP-PRINSIP MEMBELAH BAHAGI

Bilangan Pemilih 

Jumlah pengundi bagi sesuatu Daerah Mengundi seboleh-bolehnya tidak melebihi 3,850 orang.               

Sempadan Daerah Mengundi    

Sempadan Daerah Mengundi ditetapkan melalui penetapan daripada sesuatu yang boleh dilihat secara jelas dan nyata seperti bukit, jalan raya dan sungai serta sempadan lain seperti sempadan lot tanah, mukim, daerah atau Negeri.       

Lokaliti 

Merupakan unit terkecil dalam daerah mengundi. Pemecahan sesuatu lokaliti dalam urusan belah bahagi hendaklah dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan kesulitan pada pemilih/pengundi, bagi menentukan di dalam daerah mengundi manakah mereka berada.    

Saiz Daerah Mengundi  

Tiada ukuran saiz dalam menentukan keluasan sesuatu daerah mengundi. Pada amnya, saiz daerah mengundi di kawasan bandar adalah lebih kecil daripada di kawasan luar bandar.                            

Pusat Mengundi              

Semasa urusan pengemaskinian Daerah Mengundi dijalankan, tindakan diambil bagi memastikan sekurang-kurangnya wujud satu pusat mengundi di dalam setiap daerah mengundi. Bagi daerah mengundi yang tidak mempunyai bangunan yang sesuai untuk dijadikan tempat mengundi, bangsal-bangsal sementara boleh didirikan. Walau bagaimanapun, keadaan khas seumpama ini hendaklah dihadkan bilangannya dengan seberapa yang boleh.   

Sempadan Bahagian Pilihan Raya             

Urusan pengemaskinian Daerah-Daerah Mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihan Raya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan pengemaskinian Daerah-Daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI melampaui sempadan Bahagian Pilihan Raya Negeri apatah lagi parlimen termasuklah urusan untuk tujuan mencatumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 Bahagian Pilihan Raya yang berlainan.                                   

Mengkaji Daerah Mengundi Dalam Kawasan Pembangunan       

Kajian ke atas kawasan-kawasan pembangunan khususnya perumahan baru perlu dibuat terlebih awal agar sesuatu daerah mengundi itu nanti tidak akan bertambah pemilihnya terlalu ramai dengan tiba-tiba apabila kawasan perumahan yang baru itu mula didiami.             

                                                            

JENIS URUSAN PENGEMASKINIAN DAERAH MENGUNDI              

                                                               

JENIS I 

Sesuatu daerah mengundi dibelah bahagikan untuk mewujudkan satu atau lebih daerah mengundi baru.            

                                                               

JENIS II

Sesuatu daerah mengundi dicantumkan dengan satu atau lebih daerah mengundi yang lain. Pencantuman ini melibatkan kekurangan daerah mengundi.         

                                                               

JENIS III               

Meminda sempadan di antara daerah-daerah mengundi yang bersempadanan yang melibatkan perpindahan lokaliti-lokaliti dan pemilih-pemilih. Jenis ini tidak melibatkan pertambahan daerah mengundi. 

                                                               

 JENIS IV              

 Meminda sempadan daerah mengundi yang tidak melibatkan sebarang perpindahan lokaliti dan pemilih.           

                                                               

 JENIS Va             

 Membetulkan kedudukan lokaliti berdasarkan kedudukan sebenar pemilih.      

                                                               

 JENIS Vb            

 Meminda atau menukar nama dan / atau kod daerah mengundi.