SEJARAH PENUBUHAN

 

Pejabat Pilihanraya Negeri, ditubuhkan pada tahun 1955 bertempat di belakang Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (sekarang Bangunan Wisma Negeri Blok B).

Ketika ditubuhkan pejabat ini hanya mengendalikan enam  (6)  Bahagian Pilihanraya parlimen sahaja iaitu Alor Star, Kota Setar, Kedah Utara, Kedah Tengah, Sungai Muda dan Kedah Selatan. Penyelia Pilihanraya Negeri yang bertugas seawal penubuhan pejabat ini ialah Encik Lee Ewe boon, OBE, JP.

Pada Pertengahan tahun 1956, pejabat ini beroperasi di tingkat atas Bangunan Pejabat Daerah Kota Setar di Jalan Raja. Setahun berikutnya selepas Suruhanjaya Pilihanraya ditubuhkan dan Pejabat ini memindahkan pusat operasinya di bangunan yang Sama kini dikenali sebagai Pejabat Tanah Kota Setar bersebelahan dengan Bangunan Balai Besar sehingga tahun 1963. Penyelia yang bertugas pada tempoh tersebut ialah Encik Lee Kok Cheng, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pegawai Pilihanraya Negeri.

Pada Tahun 1964, bertempat di Tingkat 1, Bangunan gunasama Persekutuan , Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar Kedah sehingga tahun 2002, pejabat ini memindahkan pusat operasinya dan dikenali sebagai Pejabat Pilihanraya Negeri Kedah/Perlis. Pada waktu itu, pejabat ini mengawal selia 18 bahagian parlimen pilihanraya (termasuk 3 di Perlis) yang terdiri daripada 15 kawasan Dewan Undangan Negeri di Perlis dan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri di Kedah.

Bagi memantapkan Operasi Penjalanan Pilihanraya, Pejabat Pilihanraya Negeri Kedah/Perlis telah diasingkanmengikut negeri pada 16 September 2002. Pejabat Pilihanraya Negeri Perlis mula beroperasi di tingkat 2, Bangunan Persekutuan Lama, Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan, 01000 Kangar, Perlis. Manakala Pejabat Pilihanraya Negeri Kedah masih kekal di Bangunan Gunasama Persekutuan Alor Setar dengan kakitangan seramai 17 orang.

Pada 2008, Pejabat Pilihanraya Negeri Kedah telah berpindah ke bangunan baru di Aras 4, Zon A, Wisma Persekutuan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah ,Anak Bukit sehingga kini dan telah mempunyai kekuatan kakitangan seramai 36 orang terdiri daripada  Bahagian Operasi (Unit Pendaftaran, Pendidikan Pengundi, Persempadanan dan Penjalanan Pilihanraya) serta Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan (Unit Pentadbiran, Kewangan serta Teknologi Maklumat).