WACANA #UNDI 18 (UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

CABARAN PENGUNDI MUDA UNTUK TENTUKAN PEMIMPIN NEGARA MASA HADAPAN

Selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang antaranya menurunkan had umur undi kepada 18 tahun mendapat undian majoriti, kini pengundi muda menggalas tanggungjawab berat bagi menentukan calon pemimpin masa hadapan pilihan mereka.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, cabaran untuk golongan muda apabila Undi18 dilaksanakan adalah untuk memastikan mereka membuat keputusan tepat dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Menurutnya, ia merupakan satu cabaran besar kerana setiap keputusan dilakukan itu akan menentukan masa hadapan masing-masing yang terletak di tangan sendiri.

“Kita mahu memilih calon yang boleh membangunkan negara. Kadang-kadang kita membuat keputusan mengikut emosi, namun yang penting adalah apa yang diperlukan sebagai seorang pemimpin untuk memajukan negara tercinta ini.

“Jangan pilih calon tersebut kerana suka, sebaliknya biarlah yang mempunyai ciri-ciri atau kualiti kepemimpinan untuk membangunkan negara pada masa hadapan,” katanya pada Wacana #Undi18 di Dewan Mu’adzam Shah, semalam yang mengupas isu had umur undi diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.

Tambah beliau, wacana itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan apabila mereka sudah memasuki universiti bererti tahap pendidikan sudah tinggi dan fikiran juga menjadi matang, justeru tidak akan menjadi isu besar apabila mengundi pada usia 18 tahun.

Menjadi harapan beliau untuk melihat anak muda khususnya di UUM dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan berjaya menjadi pemimpin di kawasan masing-masing.

Wacana tersebut turut menampilkan tiga panel lain iaitu Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Kedah, Mohd Faishol Abu Bakar; Penasihat Undang-undang UUM, Prof. Madya Dr. Zainal Amin Ayub dan Pendebat Universiti, Mohd Farid Mohd Azmi bersama moderator, Muhammad Izzat Siraj Mohd Iyas Zainal, Yang Dipertua MPP UUM.

Sementara itu, Mohd Faishol berkata, Undi18 bermaksud golongan muda berusia 18 tahun boleh mendaftar sebagai pemilih secara automatik dan menjadi calon pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, sekiranya pilihan raya berlangsung pada 2023, jumlah pengundi akan meningkat kepada 22.2 juta (anggaran) dengan 34.8 peratus adalah generasi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Katanya, wujudnya Akademi Pilihan Raya pada 2007 adalah untuk mendidik, meningkatkan pengetahuan dan memberi kesedaran tentang pentingnya penglibatan semua pihak bukan sahaja kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah orang ramai dalam proses pilihan raya itu.

“Di Kedah, SPR telah mengadakan lebih 30 program membabitkan IPT dan sekolah dengan jangkauan 20,000 peserta untuk memberi kesedaran tentang sistem pilihan raya di Malaysia.

“Kita akan berterusan memberikan kefahaman tentang proses atau sistem pilihan raya ini tetapi dari aspek cabaran, SPR akan meyakinkan golongan muda ini untuk keluar menjadi pengundi,” katanya.

Tambah beliau, adalah menjadi satu cabaran kepada SPR juga untuk memastikan jumlah yang keluar mengundi nanti adalah selari dengan jumlah daftar pemilih secara automatik itu.

Bagi Dr. Zainal Amin, tiada undang-undang di Malaysia yang memaksa atau mewajibkan rakyatnya untuk keluar mengundi kecuali di beberapa buah negara lain.

Menurutnya, walaupun tiada lagi undang-undang sedemikian, namun didikan awal harus dimainkan kepada golongan sasaran itu.

Katanya, UUM telah mengambil langkah proaktif apabila menganjurkan wacana ini bagi memberi kesedaran kepada pelajar tentang Undi18 dan tanggungjawab untuk keluar mengundi.

“Undi18 ini memberi impak kepada golongan muda sebagai pengundi,” kata Pendebat Universiti, Mohd Farid.

Menurutnya, dia percaya ia adalah peluang kepada anak muda, namun golongan ini perlu faham terlebih dahulu apa itu politik, demokrasi dan pilihan raya kerana kini ramai yang salah anggap bahawa politik adalah sebuah parti dan bukan sistem.

Wacana Undi 18 bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman berkaitan Undi 18 kepada pelajar UUM yang mana pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon pada pilihan raya akan datang.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama pada 16 Julai lalu dan diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai dengan majoriti dua per tiga.

Banyak negara di dunia telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun bagi rakyat mereka termasuk Thailand, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Australia, New Zealand, Bangladesh dan Hong Kong.

WACANA