• Home »
  • Aktiviti Semasa »
  • ORANG RAMAI DIMINTA WASPADA TERHADAP TULAR PENDAFTARAN PEMILIH SECARA ONLINE ATAU MENERUSI APLIKASI MEDIA SOSIAL

ORANG RAMAI DIMINTA WASPADA TERHADAP TULAR PENDAFTARAN PEMILIH SECARA ONLINE ATAU MENERUSI APLIKASI MEDIA SOSIAL

brand

 

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

BIL.29/ 2017

1.            Sejak kebelakangan ini SPR mendapati terdapat pihak tertentu menyebarkan maklumat melalui aplikasi media sosial kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara online atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya             menghantar gambar kad pengenalan Mykad mereka ke nombor talian telefon tertentu dan mereka akan didaftarkan segera sebagai pemilih.

2.           SPR ingin menegaskan bahawa kaedah itu adalah tidak dibenarkan dan tidak sah. Kaedah pendaftaran yang digunapakai sekarang memerlukan individu itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR. Mereka perlu membawa bersama kad pengenalan Mykad yang asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang tersebut.

3.           Setelah mendaftar sebagai pemilih, pemohon sepatutnya menerima salinan Borang A bagi urusan sekiranya untuk membuat tuntutan jika permohonannya tidak diterima atau diproses oleh SPR.

4.           SPR ingin memberi peringatan kepada mana-mana Penolong Pendaftaran Pemilih (PPP) yang dilantik, sekiranya dikesan dan didapati mereka terlibat dalam menjalankan kaedah pendaftaran yang melanggar Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 ini, SPR tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perlantikan mereka itu dengan serta merta.

5.      Malah mana-mana PPP yang didapati menjalankan pendaftaran pemilih dengan kaedah itu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana telah memalsukan tanda tangan pemohon.

6.      Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan mesej yang ditularkan itu kerana dibimbangi makiumat peribadi mereka akan disalahgunakan untuk tujuan lain oleh pihak terbabit.

7.      SPR menyarankan supaya warganegara yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar mengambil peluang mendaftar dengan segera tanpa menunggu di saat akhir atau disebabkan oleh tular tertentu sahaja. Mendaftar sebagai pemilih dan mengundi semasa pilihanraya adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH Pengerusi

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

PUTRAJAYA

Tarikh: 28 September 2017/ 7 Muharram 1439H