SPR LANCAR KEMPEN JOM KITA DAFTAR UNDI #JOMKITADAFTARUNDI

EDITJOMDAFTAR

Shah Alam, 3 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi inisiatif terbarunya berkonsepkan National Blue Ocean Strategy (NBOS) telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa pihak swasta dalam usaha untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan jumlah pemilih berdaftar.

Kempen ‘Jom Kita Daftar Undi’ telah dilancarkan pada 3 Mac 2017 bertempat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor. Pelancaran ini disempurnakan bersama oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim  Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia X Berhad, Encik Benyamin Ismail (mewakili AirAsia); dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Dr. Hussamuddin Yaacub.

Sebagai perintis, kempen ini telah diadakan pada 3 hingga 5 Mac 2017 bertempat di Kompleks Media Karangkraf sempena Karnival Karangkraf 2017 dan seterusnya akan menjelajah ke beberapa lokasi lain di seluruh Negara. Kempen ini turut menawarkan hadiah tiket penerbangan percuma ke pelbagai destinasi sumbangan oleh AirAsia kepada pendaftaran baharu yang bertuah.

Buat julung kalinya satu kolaborasi antara sektor awam dan swasta dapat direalisasikan dalam menggerakkan satu inisiatif tanggungjawab sosial terhadap Negara bagi meningkatkan semangat cintakan negara dan rasa tanggungjawab rakyat terhadap negara dengan mendaftar sebagai pemilih.