PERASMIAN BERSEJARAH MENARA SPR

PERASMIAN EDIT

Putrajaya, 9 Mac – Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu dikenali sebagai Menara SPR hari ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin bin Haji Mulia, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat. Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin menyeru agar warga SPR dapat memberikan khidmat yang terbaik dalam memastikan amalan demokrasi terus dipertahankan. Terdahulu dalam ucapan aluan oleh Pengerusi SPR, Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd. Hashim bin Abdullah turut berikrar untuk menjadikan SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali; dan berharap supaya seluruh warga SPR bekerja sebagai satu pasukan untuk merealisasikannya. Sejak ditubuhkan pada 1957, Ibu Pejabat SPR telah ditempatkan di lima lokasi sebelum ini iaitu di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur; Bangunan Yayasan Selangor, Kuala Lumpur; Bangunan Tong Ah, Kuala Lumpur; Menara Bank Pembangunan, Kuala Lumpur; dan Blok C7, Kompleks C, Putrajaya. Menara SPR mula diduduki pada 14 Februari 2015 setelah pembinaannya siap pada November 2014. Menara setinggi 10 tingkat ini terletak di Presint 2, Putrajaya bersebelahan Kompleks Kementerian Kewangan (MOF). Menara ini dibina dengan kos RM126.7 juta; dan mempunyai kemudahan ruang pejabat, dewan serbaguna, bilik mesyuarat utama, dewan taklimat, surau, pusat asuhan kanak-kanak, perpustakaan, gymnasium dan cafeteria. Semoga dengan pejabat yang serba baru dan lengkap ini memberi semangat kepada seluruh warga SPR untuk meningkatkan komitmen dan dedikasi untuk terus berkhidmat kepada keseluruhan rakyat.